Friday, April 3, 2009

Teks perutusan Datuk Seri Najib Razak

Bismillahirrahmanirrahim

Bagi pihak seluruh Rakyat Malaysia, pertama sekali saya merakamkan rasa penghargaan dan ucapkan terima kasih kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi atas sumbangan khidmat cemerlang sepanjang 31 tahun kepada negara. Begitulah juga komitmen Tun dalam pengukuhan demokrasi dan institusi penting dalam negara, serta teladan kepemimpinan yang cukup berhikmah. Secara peribadi, saya amat berterima kasih atas keyakinan Tun Abdullah menamakan saya sebagai penggantinya. Saya juga merakamkan ucapan junjungan kasih setinggi-tingginya atas perkenan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong melantik saya sebagai Perdana Menteri dalam istiadat mengangkat sumpah jawatan pagi tadi.

Dengan penuh rasa tawaduk dan kerendahan hati, saya menerima amanah tanggungjawab ini untuk berkhidmat kepada Rakyat dan Negara. Sesungguhnya seawal usia yang masih muda, dan sepanjang hidup dewasa, telah saya abdikan berkhidmat untuk rakyat. Semua ini lahir, hasil dari inspirasi dan dorongan serta suri teladan Allahyarham Ayahanda saya. Memang saya tersentuh dan terpanggil untuk meneruskan agenda besar kerajaan untuk membasmi kemiskinan, menstrukturkan semula masyarakat Malaysia, meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti untuk semua, serta meniupkan semangat sebuah generasi baru untuk menumpah khidmat kepada Malaysia. Justeru itulah, sepanjang khidmat awam saya, pentingnya aspek keberhasilan sentiasa ditekankan. Sama ada melalui kemudahan yang lebih selesa bagi para pendidik, meningkatkan kualiti hidup para perwira tanah air, mahupun dalam memperkasakan ekonomi bagi memelihara kesejahteraan rakyat di saat kita menghadapi cabaran ekonomi global. Dalam waktu terdekat ini, saya akan bertukar-tukar pendapat dengan pelbagai lapisan pemimpin masyarakat dari seluruh negara dalam menentukan keutamaan kerajaan.

Dalam hal ini, saya amat menyedari bahawa kita perlu mengambil manfaat dari kejayaan kini dan beriktibar pula dengan pengajaran masa lalu. Pada asasnya, kepimpinan yang bakal diwujudkan wajar membawa pendekatan baru, bagi menempa sebuah zaman baru, demi menjelmakan sebuah kerajaan yang mengutamakan prestasi berpaksikan keutamaan rakyat. Rakyat diutamakan akan merentasi seluruh lapisan masyarakat dan kumpulan etnik di setiap pelosok tanah air. Tidak ada sesiapa yang patut merasakan diri mereka tercicir atau terpinggir daripada wacana nasional. Kita akan rapatkan hubungan Rakyat dan Kerajaan dari dikelirukan dan diperdaya oleh permainan muslihat politik. Dalam hal ini, potensi golongan anak muda akan kita bangunkan setinggi-tingginya. Kita percaya merekalah generasi pewaris bakal pendidik, doktor, peguam, akauntan, saintis, jurutera, tokoh perniagaan, cerdik pandai dan saf pemimpin masa depan. Maka dengan itu, pada hari yang bersejarah ini saya berikrar untuk bekerja tanpa mengenal erti jemu atau penat lelah, berkhidmat dan membela untung nasib rakyat.

Saya juga ingin mengambil kesempatan ini mengumumkan bahawa pihak kerajaan akan menarik balik larangan penerbitan sementara bagi dua surat khabar serta membebaskan 13 tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) berkuat kuasa serta-merta. Proses kajian semula terhadap Akta ISA akan juga dimulakan. Saya sedar sudah tepat masanya kita mengambil langkah-langkah demikian untuk mengukuhkan lagi keyakinan rakyat terhadap pihak yang berwajib atas soal keselamatan negara serta mengembalikan keutamaan kita untuk menangani ancaman-ancaman yang dianggap berbahaya dan munasabah. Kementerian Dalam Negeri akan memberikan butir-butir selanjutnya selepas ini.

Atas segalanya, saya menyedari bahawa sekarang adalah masa yang cukup mencabar bagi setiap warga. Saya komited memastikan kepimpinan terus berdiri teguh bagi menghadapi krisis ekonomi yang kini melanda seluruh dunia termasuk di negara kita. Saya akan tetap berpegang kepada iltizam untuk memenuhi keperluan, kepentingan dan aspirasi setiap warga Malaysia.

Dengan ini, saya mengajak seluruh warga untuk sama-sama melaksanakan satu transformasi besar buat Negara dengan semangat: Satu Malaysia. Rakyat Didahulukan. Pencapaian Diutamakan. Saya panjatkan doa ke hadrat Ilahi supaya terus dikurniakan kekuatan, kemudahan serta hikmah dalam menjalankan amanah besar ini. Dengan izin Allah jua, marilah kita memulakan langkah perjalanan hebat ini - bersama-sama. - Bernama

Saturday, March 21, 2009

Dakwah perpaduan penting untuk kestabilan - Raja Muda Perlis

KANGAR 21 Mac — Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyeru agar kegiatan dakwah bagi menguatkan perpaduan rakyat diperhebatkan bagi mengekalkan kestabilan negara yang kini sedang diancam dengan pelbagai cabaran yang menggugat keharmoian.

Menurut baginda, sebarang masalah perlu ditangani secara bertanggungjawab, matang dan bijaksana tanpa dipengaruhi emosi dan fantasi yang membawa kemudaratan.

Bertitah melancarkan Bulan Dakwah dan kempen berzakat peringkat negeri Perlis di sini hari ini, Raja Muda yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Perlis (MAIPs) mahu setiap anggota masyarakat berpandangan jauh dan tidak membuat keputusan terburu-buru terutama yang berkaitan dengan isu-isu sensitif di samping menghormati hak asasi orang lain.

Baginda juga berharap rakyat memanfaatkan segala kemajuan negara terutama bagi negeri Perlis yang kini kian pesat membangun dalam pelbagai sektor termasuk industri dan pendidikan.

Sebagai contoh, baginda bertitah Taman Teknologi Tinggi Pauh bukan sekadar mengubah wajah kawasan Pauh malah akan mewujudkan ribuan peluang pekerjaan yang perlu diambil kesempadan oleh penduduk tempatan.

Selain itu, Padang Besar bakal membangun dengan projek hub halal manakala di Sungai Batu Pahat bakal terbina taman teknologi berasaskan herba di samping banyak lagi pembangunan yang akan dilaksanakan secara berterusan.

Ketika menghadapi era pembangunan yang berterusan, Raja Muda berharap umat Islam tidak leka dengan keselesaan sebaliknya setiap tindakan dan perbuatan perlu berlandaskan akidah.
Baginda juga mahu rakyat seiringan dengan kerajaan memerangi jenayah dan kegiatan yang merugikan negara seperti rasuah dan penagihan dadah selain meningkatkan semangat ke arah menjaga kebersihan alam sekitar.

Majlis itu turut diisi dengan ceramah oleh 11 jabatan dan agensi kerajaan di samping persembahan puisi kemanusiaan oleh penyair wanita Perlis, Haniza Hamzah yang mendeklamasikan puisi karyanya bertajuk “Al Amin”. Yang hadir sama di majlis itu ialah Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu.

— BERNAMA

Pemuda UMNO pastikan peralihan kuasa berjalan lancar



HISHAMMUDDIN Tun Hussein bersama calon-calon Ketua dan Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO (dari kiri) Reezal Marican Naina Marican, Mukhriz Tun Mahathir, Khairy Jamaluddin dan Razali Ibrahim ketika menghadiri mesyuarat Exco Pemuda UMNO di PWTC semalam






KUALA LUMPUR 20 Mac - Pergerakan Pemuda UMNO akan memastikan proses peralihan kuasa dalam parti berjalan lancar dan menyokong Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai presiden parti serta Perdana Menteri yang baru.

Ketuanya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menegaskan, pergerakan itu menghormati dan menghargai Presiden UMNO dan Perdana Menteri sekarang, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tetapi pada masa sama akan menyokong Najib apabila peralihan kuasa berlaku pada akhir bulan ini.

''Ada pihak-pihak yang tidak ingin melihat UMNO pulih dan ini termasuklah bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim yang mengeluarkan kenyataan yang Pemuda anggap sebagai tidak bertanggungjawab dan tidak masuk akal.

''Tindakan Zaid ini merupakan usaha cuba menjejaskan peralihan kuasa dalam kepimpinan parti yang seharusnya berjalan dengan lancar dan lagi satu siapa dia, dia tidak ada kedudukan dalam UMNO,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Pergerakan Pemuda UMNO yang terakhir sebelum perhimpunan agung parti pada minggu depan di Ibu Pejabat UMNO, Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini.
Turut hadir dua calon Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin dan Datuk Mukhriz Mahathir serta semua Exco Pemuda.

Baru-baru ini, Zaid mengeluarkan kenyataan yang meminta Yang di-Pertuan Agong tidak melantik Najib sebagai Perdana Menteri.

Hishammuddin menegaskan, bekas ahli UMNO itu hanya merupakan liabiliti kepada parti.
Dalam pada itu, beliau menolak desas-desus wujud perpecahan di dalam parti berikutan tindakan Lembaga Disiplin terhadap pemimpin-pemimpin parti seperti Naib Presiden, Datuk Seri Ali Rustam yang dikatakan penyokong Abdullah.

''Saya telah menyatakan kepada Exco Pemuda tidak wujud perpecahan kerana Abdullah dan Najib merupakan dua pemimpin parti yang bijaksana dan meletakkan parti sebagai keutamaan.
''Desas-desus yang wujud sekarang sengaja dibuat oleh pihak-pihak yang mempunyai kepentingan dan tidak mahu melihat UMNO kembali pulih,'' katanya.

Tegasnya, Pemuda mengenali pemimpin parti dan yakin proses peralihan kuasa akan berjalan dengan lancar serta tidak wujud puak-puak di dalam parti.

''UMNO akan buktikan selepas pemilihan parti bahawa desas-desus itu tidak ada asas kerana berdasarkan amalan, parti ini tahu memilih pemimpin berdasarkan fakta dan perjuangan,'' katanya.

Perkara yang sama dinyatakan oleh Khairy dengan menegaskan tidak wujud pasukan dan yang ada hanya pasukan UMNO.
''Orang kata saya dalam team Perdana Menteri tetapi sebenarnya hanya ada team UMNO tidak ada team A atau team B.

''Teori yang mereka sebarkan sebenarnya tidak wujud dan tujuan mereka sebenarnya untuk memecah-belahkan parti kerana semua ahli akan menyokong pemimpin yang dipilih pada pemilihan parti nanti itulah ketua parti,'' katanya.

Sementara itu Mukhriz menegaskan, beliau tidak melihat berlaku perpecahan dalam UMNO.
Mengenai tindakan Zaid, beliau menyatakan bahawa dari dulu lagi Zaid memang cenderung kepada pembangkang.

''Kenyataan yang dikeluarkan baru-baru ini tidak mengejutkan saya kerana itulah sikapnya dan tidak akan mengambil serius apa yang dikatakan beliau,'' katanya.

Thursday, March 12, 2009

Pembaharuan Melalui Sikap Terbuka


SEREMBAN 11 Mac – Tiga calon Ketua Pemuda UMNO hari ini sepakat bahawa pembaharuan dalam parti boleh berlaku melalui keterbukaan sikap semua pihak tanpa ada perasaan prejudis antara satu sama lain.

Malah mereka sependapat bahawa program memperkenalkan calon kepada perwakilan di seluruh negara merupakan ‘perdamaian’ dalam menjana kekuatan parti agar ia terus kukuh dan mantap.

Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaludin berkata, semangat kekeluargaan amat kukuh dalam UMNO, malah menerusi program- program memperkenalkan calon dapat dilihat kematangan perwakilan, calon dan ahli-ahli untuk lebih rapat dengan bakal-bakal pemimpin masa depan.

“Semangat itu penting untuk menunjukkan apa yang akan dipilih oleh perwakilan bukan berdasarkan kepada duit atau unsur negatif, tetapi keterbukaan dalam penerimaan terhadap semua calon yang bertanding.

“Ini semangat persahabatan yang kuat. Inilah budaya sihat dalam UMNO. Ia bukan seperti yang digembar- gemburkan oleh orang yang tidak senang dengan kekuatan parti ini,” katanya.Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis ramah mesra calon Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Klana Resort di sini malam tadi.

Hampir semua calon yang bertanding pada pemilihan UMNO itu hadir pada program tersebut yang dianjurkan Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan dan turut dihadiri Pengerusinya, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Menurut Khairy, beliau percaya semua calon, sama ada Wanita, Pemuda dan Puteri akan ‘naik semangat’ apabila diperkenalkan dalam program khusus seperti dianjurkan malam tadi.“Kita perlu teruskan perjuangan selepas berakhirnya pemilihan untuk memperkukuhkan parti,” katanya yang juga Ahli Parlimen Rembau.

Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo berkata, pembersihan ‘jiwa UMNO’ hendaklah dilakukan berterusan supaya tiada unsur negatif yang mengalir dalam perjuangan itu.

“Jika kita gagal membersihkan parti pada peringkat awal, ia akan terus rosak kerana ada antara mereka akan menerajui parti dan memimpin negara,” kata beliau.Mohamad Khir menjelaskan, keterbukaan sikap ahli, calon dan pemimpin dalam UMNO hendaklah telus termasuk memperakui keikhlasan hati dan bebas dari sebarang gejala rasuah.“Apa akan jadi jika calon itu menang dan tiba-tiba disabitkan kesalahan rasuah, tentulah calon kedua meraih kemenangan itu.

“Sebab itulah pembersihan amat penting sebelum seseorang calon menawarkan diri untuk bertanding,” tegas beliau.

Mengenai pemilihan pada 24 hingga 28 Mac ini, beliau berkata, gerakan untuk mengenali hati dan kehendak ahli tidak akan terhenti sebaliknya akan diteruskan sehingga ke akar umbi.“Ia proses berterusan dan ahli perlu didekati oleh pemimpin. UMNO perlu kukuh supaya generasi akan datang ada perisai dalam memperjuangkan agama, bangsa dan negara,” jelas beliau.
Seorang lagi calon Ketua Pemuda UMNO, Ahli Parlimen Jerlun yang juga Exco pergerakan itu, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, calon, perwakilan dan ahli-ahli semakin matang dan mereka kini bersikap terbuka dalam merencanakan corak UMNO baru masa kini.

“Program pada malam ini sendiri menunjukkan betapa ahli begitu berminat untuk mengetahui lebih dekat calon mereka. Ini amalan yang sihat untuk menunjukkan juga keterbukaan sikap calon yang bertanding.“Perwakilan dapat menilai siapa calon mereka melalui pandangan masing-masing. Tiada paksaan dalam pemilihan ini kerana ia kehendak dan ketentuan yang dibuat oleh perwakilan,” katanya

Oleh AINOL AMRIZ ISMAIL dan MOHAMMAD YASIR JAAFAR
utusanN9@utusan.com.my

Najib : Jangan Buat Spekulasi


KUALA LUMPUR 11 Mac - Datuk Seri Najib Tun Razak meminta semua pihak supaya tidak membuat spekulasi berhubung tarikh penyerahan kuasa oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepadanya.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, pengumuman rasmi dari Jabatan Perdana Menteri akan menjawab persoalan berhubung tarikh tersebut."Tunggu pengumuman rasmi Jabatan Perdana Menteri," kata Najib ketika ditanya tarikh sebenar peralihan kuasa daripada Abdullah kepada beliau.

Beliau ditemui pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian penstrukturan semula perkhidmatan bekalan air Negeri Johor antara SAJ Holdings dan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) di sini hari ini.

Sementara itu Timbalan Perdana Menteri turut ditanya mengenai laporan jamuan tengah hari yang dihadiri Abdullah dan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.Kata Najib, tafsiran berlebihan berhubung pertemuan tersebut perlu dielakkan."Jangan tafsir perkara itu berlebih-lebihan (Don't read too much into that)," kata beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO.

Mengenai senarai rasmi calon-calon pilihan raya kecil di Bukit Selambau, Bukit Gantang dan Batang Ai, katanya, senarai itu masih belum diterima namun Barisan Nasional (BN) tetap membuat tinjauan dan risikan secara tidak rasmi."Kita kena meninjau, risik-risik sendiri," katanya.

Dalam pada itu, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, pakej rangsangan ekonomi kedua berjumlah RM60 bilion akan mewujudkan kesan segera walaupun ada pihak yang menganggap ia hanya akan dapat dilihat pada suku keempat tahun ini.

Beliau berkata, antara projek pertama yang akan mula dilaksanakan ialah kontrak bernilai RM2 bilion untuk pelbagai projek pembangunan oleh Kementerian Pelajaran.Katanya, tender projek itu telah keluar tetapi kontraknya tidak dapat diberi kerana tiada peruntukan.
Namun, katanya, dengan tambahan daripada pakej rangsangan kedua tersebut, ia akan dilaksanakan serta-merta.

Oleh NOR ZAINAH NORDIN dan SARAH NADLIN ROHIM
pengarang@utusan.com.my

Pembangkang lebih Utamakan Politik - PM


KOTA KINABALU 11 Mac - Tindakan Ahli Parlimen pembangkang keluar dewan semasa pembentangan Bajet Mini oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam membuktikan mereka lebih mementingkan politik daripada bersama-sama menyelesaikan masalah ekonomi negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, tindakan itu juga menunjukkan pembangkang hanya tahu bercakap dan tidak 'gentleman'.

"Sedangkan selama ini mereka juga yang mengatakan perkara berkaitan ekonomi penting tetapi mereka tidak mahu mengetahui apa yang kerajaan hendak buat.

"Ini menunjukkan mereka tidak ambil kisah (masalah ekonomi). Boleh jadi mereka hanya berminat hendak bermain politik," katanya pada sidang akhbar selepas melakukan lawatan ke Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Sepanggar dekat sini hari ini.Perdana Menteri mengulas tindakan ahli-ahli Parlimen pembangkang keluar dewan semasa pembentangan Bajet Mini oleh Najib semalam.

Abdullah berkata, pada masa ini rakyat mahu kerajaan memberi tumpuan sepenuhnya dan bersungguh- sungguh menjayakan rancangan pemulihan dan rangsangan ekonomi negara.Katanya, rancangan dan peruntukan yang telah disediakan itu hanya sia-sia jika pelaksanaannya tidak dilakukan dengan sempurna."Oleh itu, kita mesti memberi perhatian sepenuhnya kepada langkah yang mesti diambil untuk menjaga ekonomi supaya nanti tidak mudah merosot. Kita mesti merangsang ekonomi kita, supaya ia dapat dipertahankan dan tidak sampai ke peringkat kemelesetan," katanya