Saturday, March 21, 2009

Pemuda UMNO pastikan peralihan kuasa berjalan lancar



HISHAMMUDDIN Tun Hussein bersama calon-calon Ketua dan Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO (dari kiri) Reezal Marican Naina Marican, Mukhriz Tun Mahathir, Khairy Jamaluddin dan Razali Ibrahim ketika menghadiri mesyuarat Exco Pemuda UMNO di PWTC semalam






KUALA LUMPUR 20 Mac - Pergerakan Pemuda UMNO akan memastikan proses peralihan kuasa dalam parti berjalan lancar dan menyokong Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai presiden parti serta Perdana Menteri yang baru.

Ketuanya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menegaskan, pergerakan itu menghormati dan menghargai Presiden UMNO dan Perdana Menteri sekarang, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tetapi pada masa sama akan menyokong Najib apabila peralihan kuasa berlaku pada akhir bulan ini.

''Ada pihak-pihak yang tidak ingin melihat UMNO pulih dan ini termasuklah bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim yang mengeluarkan kenyataan yang Pemuda anggap sebagai tidak bertanggungjawab dan tidak masuk akal.

''Tindakan Zaid ini merupakan usaha cuba menjejaskan peralihan kuasa dalam kepimpinan parti yang seharusnya berjalan dengan lancar dan lagi satu siapa dia, dia tidak ada kedudukan dalam UMNO,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Pergerakan Pemuda UMNO yang terakhir sebelum perhimpunan agung parti pada minggu depan di Ibu Pejabat UMNO, Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini.
Turut hadir dua calon Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin dan Datuk Mukhriz Mahathir serta semua Exco Pemuda.

Baru-baru ini, Zaid mengeluarkan kenyataan yang meminta Yang di-Pertuan Agong tidak melantik Najib sebagai Perdana Menteri.

Hishammuddin menegaskan, bekas ahli UMNO itu hanya merupakan liabiliti kepada parti.
Dalam pada itu, beliau menolak desas-desus wujud perpecahan di dalam parti berikutan tindakan Lembaga Disiplin terhadap pemimpin-pemimpin parti seperti Naib Presiden, Datuk Seri Ali Rustam yang dikatakan penyokong Abdullah.

''Saya telah menyatakan kepada Exco Pemuda tidak wujud perpecahan kerana Abdullah dan Najib merupakan dua pemimpin parti yang bijaksana dan meletakkan parti sebagai keutamaan.
''Desas-desus yang wujud sekarang sengaja dibuat oleh pihak-pihak yang mempunyai kepentingan dan tidak mahu melihat UMNO kembali pulih,'' katanya.

Tegasnya, Pemuda mengenali pemimpin parti dan yakin proses peralihan kuasa akan berjalan dengan lancar serta tidak wujud puak-puak di dalam parti.

''UMNO akan buktikan selepas pemilihan parti bahawa desas-desus itu tidak ada asas kerana berdasarkan amalan, parti ini tahu memilih pemimpin berdasarkan fakta dan perjuangan,'' katanya.

Perkara yang sama dinyatakan oleh Khairy dengan menegaskan tidak wujud pasukan dan yang ada hanya pasukan UMNO.
''Orang kata saya dalam team Perdana Menteri tetapi sebenarnya hanya ada team UMNO tidak ada team A atau team B.

''Teori yang mereka sebarkan sebenarnya tidak wujud dan tujuan mereka sebenarnya untuk memecah-belahkan parti kerana semua ahli akan menyokong pemimpin yang dipilih pada pemilihan parti nanti itulah ketua parti,'' katanya.

Sementara itu Mukhriz menegaskan, beliau tidak melihat berlaku perpecahan dalam UMNO.
Mengenai tindakan Zaid, beliau menyatakan bahawa dari dulu lagi Zaid memang cenderung kepada pembangkang.

''Kenyataan yang dikeluarkan baru-baru ini tidak mengejutkan saya kerana itulah sikapnya dan tidak akan mengambil serius apa yang dikatakan beliau,'' katanya.

No comments:

Post a Comment