Saturday, March 21, 2009

Dakwah perpaduan penting untuk kestabilan - Raja Muda Perlis

KANGAR 21 Mac — Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyeru agar kegiatan dakwah bagi menguatkan perpaduan rakyat diperhebatkan bagi mengekalkan kestabilan negara yang kini sedang diancam dengan pelbagai cabaran yang menggugat keharmoian.

Menurut baginda, sebarang masalah perlu ditangani secara bertanggungjawab, matang dan bijaksana tanpa dipengaruhi emosi dan fantasi yang membawa kemudaratan.

Bertitah melancarkan Bulan Dakwah dan kempen berzakat peringkat negeri Perlis di sini hari ini, Raja Muda yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Perlis (MAIPs) mahu setiap anggota masyarakat berpandangan jauh dan tidak membuat keputusan terburu-buru terutama yang berkaitan dengan isu-isu sensitif di samping menghormati hak asasi orang lain.

Baginda juga berharap rakyat memanfaatkan segala kemajuan negara terutama bagi negeri Perlis yang kini kian pesat membangun dalam pelbagai sektor termasuk industri dan pendidikan.

Sebagai contoh, baginda bertitah Taman Teknologi Tinggi Pauh bukan sekadar mengubah wajah kawasan Pauh malah akan mewujudkan ribuan peluang pekerjaan yang perlu diambil kesempadan oleh penduduk tempatan.

Selain itu, Padang Besar bakal membangun dengan projek hub halal manakala di Sungai Batu Pahat bakal terbina taman teknologi berasaskan herba di samping banyak lagi pembangunan yang akan dilaksanakan secara berterusan.

Ketika menghadapi era pembangunan yang berterusan, Raja Muda berharap umat Islam tidak leka dengan keselesaan sebaliknya setiap tindakan dan perbuatan perlu berlandaskan akidah.
Baginda juga mahu rakyat seiringan dengan kerajaan memerangi jenayah dan kegiatan yang merugikan negara seperti rasuah dan penagihan dadah selain meningkatkan semangat ke arah menjaga kebersihan alam sekitar.

Majlis itu turut diisi dengan ceramah oleh 11 jabatan dan agensi kerajaan di samping persembahan puisi kemanusiaan oleh penyair wanita Perlis, Haniza Hamzah yang mendeklamasikan puisi karyanya bertajuk “Al Amin”. Yang hadir sama di majlis itu ialah Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu.

— BERNAMA

No comments:

Post a Comment