Thursday, March 12, 2009

Najib : Jangan Buat Spekulasi


KUALA LUMPUR 11 Mac - Datuk Seri Najib Tun Razak meminta semua pihak supaya tidak membuat spekulasi berhubung tarikh penyerahan kuasa oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepadanya.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, pengumuman rasmi dari Jabatan Perdana Menteri akan menjawab persoalan berhubung tarikh tersebut."Tunggu pengumuman rasmi Jabatan Perdana Menteri," kata Najib ketika ditanya tarikh sebenar peralihan kuasa daripada Abdullah kepada beliau.

Beliau ditemui pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian penstrukturan semula perkhidmatan bekalan air Negeri Johor antara SAJ Holdings dan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) di sini hari ini.

Sementara itu Timbalan Perdana Menteri turut ditanya mengenai laporan jamuan tengah hari yang dihadiri Abdullah dan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.Kata Najib, tafsiran berlebihan berhubung pertemuan tersebut perlu dielakkan."Jangan tafsir perkara itu berlebih-lebihan (Don't read too much into that)," kata beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO.

Mengenai senarai rasmi calon-calon pilihan raya kecil di Bukit Selambau, Bukit Gantang dan Batang Ai, katanya, senarai itu masih belum diterima namun Barisan Nasional (BN) tetap membuat tinjauan dan risikan secara tidak rasmi."Kita kena meninjau, risik-risik sendiri," katanya.

Dalam pada itu, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, pakej rangsangan ekonomi kedua berjumlah RM60 bilion akan mewujudkan kesan segera walaupun ada pihak yang menganggap ia hanya akan dapat dilihat pada suku keempat tahun ini.

Beliau berkata, antara projek pertama yang akan mula dilaksanakan ialah kontrak bernilai RM2 bilion untuk pelbagai projek pembangunan oleh Kementerian Pelajaran.Katanya, tender projek itu telah keluar tetapi kontraknya tidak dapat diberi kerana tiada peruntukan.
Namun, katanya, dengan tambahan daripada pakej rangsangan kedua tersebut, ia akan dilaksanakan serta-merta.

Oleh NOR ZAINAH NORDIN dan SARAH NADLIN ROHIM
pengarang@utusan.com.my

No comments:

Post a Comment