Thursday, March 12, 2009

Pembangkang lebih Utamakan Politik - PM


KOTA KINABALU 11 Mac - Tindakan Ahli Parlimen pembangkang keluar dewan semasa pembentangan Bajet Mini oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam membuktikan mereka lebih mementingkan politik daripada bersama-sama menyelesaikan masalah ekonomi negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, tindakan itu juga menunjukkan pembangkang hanya tahu bercakap dan tidak 'gentleman'.

"Sedangkan selama ini mereka juga yang mengatakan perkara berkaitan ekonomi penting tetapi mereka tidak mahu mengetahui apa yang kerajaan hendak buat.

"Ini menunjukkan mereka tidak ambil kisah (masalah ekonomi). Boleh jadi mereka hanya berminat hendak bermain politik," katanya pada sidang akhbar selepas melakukan lawatan ke Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Sepanggar dekat sini hari ini.Perdana Menteri mengulas tindakan ahli-ahli Parlimen pembangkang keluar dewan semasa pembentangan Bajet Mini oleh Najib semalam.

Abdullah berkata, pada masa ini rakyat mahu kerajaan memberi tumpuan sepenuhnya dan bersungguh- sungguh menjayakan rancangan pemulihan dan rangsangan ekonomi negara.Katanya, rancangan dan peruntukan yang telah disediakan itu hanya sia-sia jika pelaksanaannya tidak dilakukan dengan sempurna."Oleh itu, kita mesti memberi perhatian sepenuhnya kepada langkah yang mesti diambil untuk menjaga ekonomi supaya nanti tidak mudah merosot. Kita mesti merangsang ekonomi kita, supaya ia dapat dipertahankan dan tidak sampai ke peringkat kemelesetan," katanya

No comments:

Post a Comment