Thursday, March 12, 2009

Pembaharuan Melalui Sikap Terbuka


SEREMBAN 11 Mac – Tiga calon Ketua Pemuda UMNO hari ini sepakat bahawa pembaharuan dalam parti boleh berlaku melalui keterbukaan sikap semua pihak tanpa ada perasaan prejudis antara satu sama lain.

Malah mereka sependapat bahawa program memperkenalkan calon kepada perwakilan di seluruh negara merupakan ‘perdamaian’ dalam menjana kekuatan parti agar ia terus kukuh dan mantap.

Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaludin berkata, semangat kekeluargaan amat kukuh dalam UMNO, malah menerusi program- program memperkenalkan calon dapat dilihat kematangan perwakilan, calon dan ahli-ahli untuk lebih rapat dengan bakal-bakal pemimpin masa depan.

“Semangat itu penting untuk menunjukkan apa yang akan dipilih oleh perwakilan bukan berdasarkan kepada duit atau unsur negatif, tetapi keterbukaan dalam penerimaan terhadap semua calon yang bertanding.

“Ini semangat persahabatan yang kuat. Inilah budaya sihat dalam UMNO. Ia bukan seperti yang digembar- gemburkan oleh orang yang tidak senang dengan kekuatan parti ini,” katanya.Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis ramah mesra calon Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Klana Resort di sini malam tadi.

Hampir semua calon yang bertanding pada pemilihan UMNO itu hadir pada program tersebut yang dianjurkan Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan dan turut dihadiri Pengerusinya, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Menurut Khairy, beliau percaya semua calon, sama ada Wanita, Pemuda dan Puteri akan ‘naik semangat’ apabila diperkenalkan dalam program khusus seperti dianjurkan malam tadi.“Kita perlu teruskan perjuangan selepas berakhirnya pemilihan untuk memperkukuhkan parti,” katanya yang juga Ahli Parlimen Rembau.

Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo berkata, pembersihan ‘jiwa UMNO’ hendaklah dilakukan berterusan supaya tiada unsur negatif yang mengalir dalam perjuangan itu.

“Jika kita gagal membersihkan parti pada peringkat awal, ia akan terus rosak kerana ada antara mereka akan menerajui parti dan memimpin negara,” kata beliau.Mohamad Khir menjelaskan, keterbukaan sikap ahli, calon dan pemimpin dalam UMNO hendaklah telus termasuk memperakui keikhlasan hati dan bebas dari sebarang gejala rasuah.“Apa akan jadi jika calon itu menang dan tiba-tiba disabitkan kesalahan rasuah, tentulah calon kedua meraih kemenangan itu.

“Sebab itulah pembersihan amat penting sebelum seseorang calon menawarkan diri untuk bertanding,” tegas beliau.

Mengenai pemilihan pada 24 hingga 28 Mac ini, beliau berkata, gerakan untuk mengenali hati dan kehendak ahli tidak akan terhenti sebaliknya akan diteruskan sehingga ke akar umbi.“Ia proses berterusan dan ahli perlu didekati oleh pemimpin. UMNO perlu kukuh supaya generasi akan datang ada perisai dalam memperjuangkan agama, bangsa dan negara,” jelas beliau.
Seorang lagi calon Ketua Pemuda UMNO, Ahli Parlimen Jerlun yang juga Exco pergerakan itu, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, calon, perwakilan dan ahli-ahli semakin matang dan mereka kini bersikap terbuka dalam merencanakan corak UMNO baru masa kini.

“Program pada malam ini sendiri menunjukkan betapa ahli begitu berminat untuk mengetahui lebih dekat calon mereka. Ini amalan yang sihat untuk menunjukkan juga keterbukaan sikap calon yang bertanding.“Perwakilan dapat menilai siapa calon mereka melalui pandangan masing-masing. Tiada paksaan dalam pemilihan ini kerana ia kehendak dan ketentuan yang dibuat oleh perwakilan,” katanya

Oleh AINOL AMRIZ ISMAIL dan MOHAMMAD YASIR JAAFAR
utusanN9@utusan.com.my

No comments:

Post a Comment